Thursday, August 27, 2009

Mengorek Telinga/Hidung/Rongga dan Berendam/Mandi Ketika Puasa

time saho tadi ryu n housemte duk bincang pasl nie....bg ryu..korek hidung tak batalkan puasa...mmng dah di didik dari kecil pasl bnde ni...tp ryu tak amalkan...setelah wat reserch pada pagi nie....selama sejam lebih.....kebnaykkn menyatakn ianya tidak membatalkan puasa selagi ia tidak mengenyangkan.....n yg kt bwh nie paling jelas kowt dalam penerangn2 yg ryu jumpe...so renungkan n selamt beramal...n selamat berpuase.....




















Mengorek Telinga/Hidung/Rongga dan Berendam/Mandi Ketika Puasa

Persoalan 1: Mengorek Telinga/Hidung Tidak Membatalkan Puasa

Terdapatnya kepelbagaian pendapat dalam hal memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Antara yang berpendapat memasukkan sesuatu didalam rongga tidak membatalkan puasa adalah Syaikh Attiyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Dr. Yusuf al-Qardhawi (Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syaikh Mohammad Salih Al-Munajjid, Dr. Muzammil Siddiqi (Ketua Majlis Fiqh Amerika Utara) dan ramai lagi.

Dalam membahaskan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa,Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata:

Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.

Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. [Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108]

Sememangnya tiada dalil jelas dari al-Quran mahupun as-Sunnah yang melarang daripada mengorek hidung ataupun telinga. Bagi yang berpendapat ianya membatalkan mereka bersandar kepada dalil:

Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…).]

Daripada sabda Rasulullah s.a.w “menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” Difahami sebagai dilarang menyedut air ke dalam hidung ketika sedang berpuasa. Jika dimasukkan air maka perbuatan tersebut membatalkan puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan kepada semua rongga tubuh berdasarkan qiyas (analogi).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.” [Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117. Dinukil dari Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa]

PERKARA YANG JELAS MEMBATALKAN PUASA

Perkara yang sememangnya jelas membatalkan puasa adalah sepeti dalam firman Allah:

Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).[al-Baqarah 2:187]

Dan kalau dilihat jelas bahawa mengorek telinga atau memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan tidak termasuk dalam perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa. Adapun persetubuhan sekalipun bukanlah perbuatan makan atau minum tetapi larangannya disebut secara jelas di dalam ayat di atas. Juga di dalam sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku. [Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 1897 dan dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami.]

Hadis di atas juga menjadi dalil mengapa merokok, penyalahgunaan dadah dan segala yang sewaktu dengannya yang secara psikologi memberikan kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu, membatalkan puasa. Sekalipun ianya tidak mengenyangkan, menghilangkan dahaga atau perbuatan bersetubuh.


Kesimpulan Pandangan 1

Sebagai kesimpulan mengenai isu mengorek telinga ketika berpuasa saya ingin menukilkan fatwa Syaikh Attiyah Saqr:

Puasa tidak terbatal dengan meletakkan jari ke dalam telinga atau kerana membersihkannya dengan cotton pad atau dengan larutan. Memandangkan tiada yang dapat meresap melalui gegendang telinga dan sampai kepada kepala, yang mana ianya juga bukan organ menerima makanan yang menyuburkan tubuh badan. [rujuk: http://www.islamonline.net ]

Di atas hujah-hujah yang sama ulama’-ulama’ mutakhir menyatakan perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan (sekiranya ia tidak sampai ke perut) tidak membatalkan puasa.

Persoalan 2: Berendam Dalam Kolam Sewaktu Berpuasa

Saya percaya apa yang dimaksudkan frasa di atas adalah membasahkan diri atau mandi terutamanya berulang kali kerana tidak tahan panas atau mengelakkan kelesuan ketika berpuasa. Perbuatan membasahkan diri kerana tidak tahan panas atau kerana kelesuan adalah dibolehkan berdasarkan sebuah hadis, Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata:

Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan. [Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2365 (Kitab puasa, Bab orang berpuasa yang disiram ke atasnya air…).]

Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:

Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun. [Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, jld. 6, ms. 395.]

Dalam membahaskan bab mandi bagi orang yang berpuasa di dalam Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan bahawa Ibn al-Manayyar berkata:

Imam Bukhari bermaksud membantah mereka yang memakruhkan orang yang berpuasa untuk mandi. Kerana apabila pendapat itu berdasarkan kekhuatiran air akan masuk ke tenggorok, maka tertolak dengan keterangan yang membolehkan berkumur-kumur dan menggosok gigi serta mencicipi makanan. Apabila tidak disukai dengan alasan kemewahan, maka sesugguhnya kaum salaf menyukai orang yang berpuasa untuk tampil terawat, indah, memakai celak atau yang sepertinya. Atas dasar itulah ia (Imam al-Bukhari-pen) menukil atsar-atsar tersebut pada bab ini (babmandi bagi orang yang berpuasa-pen). [Fath al-Bari, Bab Mandi orang Yang Berpuasa, ms. 171]

BERENDAM DI DALAM BATH TUB, KOLAM, TAKUNGAN AIR?

Perbuatan merendamkan diri ketika berpuasa kerana kepanasan bukanlah perbuatan pelik tetapi pernah dilakukan oleh sahabat Nabi sendiri. Anas bin Malik berkata:

Sesungguhnya aku memiliki penampungan air yang aku masuk ke dalamnya dan aku sedang berpuasa.[ Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 167]

Ibn Hajar al-Asqalani dalam menjelaskan mengenai atsar itu berkata:

Seakan-akan penampungan tersebut dipenuhi air, sehingga apabila udara panas, maka dia masuk ke dalamnya untuk mendinginkan badan. [Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 172]

Saya harap penjelasan daripada saya yang tidak tinggi ilmunya ini dapat meleraikan kemusykilan atau kekeliruan yang wujud. Moga kita bersama dapat manfaat insyaAllah.


No comments:

Boleh try usya2 post lain:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...